oleh: Dr(H) Kassim Bin Bahali
Tahun ini kita berpeluang menyaksikannya. Bagi mengelakkan terlepas menyaksikan peristiwa ini, rencana mengenainya disiarkan lebih awal.
Tanggal 5 Jun, planet Zuhrah akan melintasi di hadapan Matahari. Fenomena ini dinamakan transit Zuhrah. Zuhrah planet kedua dalam sistem suria, mengorbit Matahari dalam tempoh 584 hari. Dalam tempoh tersebut ia akan berada di antara Matahari dan Bumi, keadaan ini dinamakan ijtimak dalam (inferior conjunction).
Transit Zuhrah berlaku apabila planet ini berada tepat diantara Matahari dan Bumi. Zuhrah beredar dan akan kembali ke kedudukan yang sama di langit pada tarikh yang hampir sama dalam satu tempoh kitaran. Tempoh satu kitaran adalah lapan tahun. Dalam tempoh tersebut ia akan berada di antara Bumi dan Matahari sebanyak 5 kali. Jika dalam tempoh ini transit berlaku pada tahun pertama, pada tahun ke lapan akan berlaku transit berikutnya. Tetapi transit tidak berlaku setiap kitaran lapan tahun. Ini disebabkan satah orbit Zuhrah tidak selari dengan orbit Bumi tetapi condong 3.4 darjah berbanding satah orbit Bumi. Jika satah orbit Zuhrah selari dengan satah orbit Bumi, kita berpeluang melihat transit Zuhrah setiap kali ijtimak dalaman. Transit ini berlaku sekali dari 46 kali ijtimak dalaman atau 13 atau 14 kali dalam seribu tahun. Transit sebelum ini telah berlaku pada 8 Jun 2004 dan transit berikut adalah lapan tahun kemudian pada 5 Jun 2012. Transit seterusnya akan berlaku pada 105 tahun akan datang pada 11 Disember 2117. Jika anda terlepas peluang melihat fenomena transit kali ini, anda perlu menunggu lagi 105 tahun akan datang jika panjang umur!
DIMANAKAH TRANSIT ZUHRAH BOLEH DILIHAT?
Fenomena ini dapat dilihat dari kebanyakan tempat di Bumi kecuali di bahagian barat Afrika, Selatan Amerika Latin dan New Zealand. Di Malaysia kita boleh melihat fenomena ini bermula dari terbit Matahari hingga tengahari. Proses pergerakan transit bergantung kepada lokasi. Ada lokasi yang dapat melihat keseluruhan proses transit dan ada yang hanya dapat melihat sebahagian proses transit.
BAGAIMANAKAH MELIHAT TRANSIT ZUHRAH ?
Diingatkan melihat Matahari dengan mata kasar secara terus sangat merbahaya boleh menyebabkan buta!
Cara yang selamat hendaklah menggunakan penapis suria yang biasa digunakan untuk cerapan gerhana Matahari atau menggunakan cermin mata pengimpal gred 14.
Satu lagi kaedah yang selamat ialah kaedah unjuran. Kaedah ini dengan menggunakan teleskop dan kadbod. Cahaya dari Matahari dibiarkan melalui teleskop dan diunjurkan keluar ke atas kadbod. Kadbod diletakkan di belakang teleskop. Imej Matahari boleh dilihat di atas kadbod tersebut. Kita akan dapat melihat pergerakan planet Zuhrah melintasi permukaan Matahari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan